Profail Daerah

Sejarah Daerah Sipitang

Daerah Sipitang menjadi sebahagian daripada Sabah pada tahun 1901. Sebelum itu, kawasan ini adalah sebuah wilayah bebas yang menjadi ancaman kepada Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British kerana ia digunakan oleh penjenayah sebagai tempat perlindungan dan pengkalan aktiviti penyeludupan senjata dan peluru. Kawasan Sipitang telah diperolehi oleh Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara Britidh dalam usahanya untuk menetapkan sempadan Negeri Sabah pada awal abad ke 20. Sebelum itu, kerajaan berpendapat bahawa sempadan negeri dibahagian Selatan Pulau Borneo harus diperluaskan untuk merangkumi wilayah-wilayah seperti Mengalong, Merapok dan Lawas tetapi perbelanjaan untuk memperolehi kawasan-kawasan tersebut dan kesukaran untuk menembusinya telah memaksa Kerajaan Syarikat untuk menetapkan sempadan negeri di kawasan Sungai Mengalong sahaja.

Setelah ditetapkan sempadan ini, kerajaan telah memulakan pentadbiran ke aras Daerah Sipitang yang digabungkan dengan Mempakul dan menjadi kawasan pentadbiran wilayah Clarke atau Province Clarke. Pentadbirannya diselenggarakan oleh Pegawai Daerah Beaufort, Mempakul dan kemudian dipisahkan darpada Sipitang dan kedua-dua stessen pentadbiran ini masing-masing dinamakan Wilayah Dent (Province Dent) dan Wilayah Clarke (Province Clarke).

Stesen kerajaan telah didirikan di tapak berdekatan dengan muara Sipitang. Oleh sebab kesukaran dalam kemudahan perhubungan dan pengangkutan, daerah Sipitang telah dimajukan oleh pengusaha-pengusaha Eropah. Walaupun demikian, kerajaan telah menggalakkan perkembangan perusahaan Sago dan aktiviti perikanan yang dijalankan oleh masyarakat setempat. Perusahaan-perusahaan ini telah diperkembangkan lagi dengan kedatangan kaum Cina ke Sipitang. Beberapa buah kilang sago telah dibuka oleh mereka dan Sipitang telah menjadi pusat perusahaan sago negeri ini dan telah mengeksport sago ke Singapura sehingga meletusnya Perang Dunia ke II.

Pada tahun 1938, sebuah pelan pembangunan pekan Sipitang telah dirancangkan oleh kerajaan. Pelan ini melibatkan penyediaan tanah untuk pembinaan lapan belas lot kedai, rumah-rumah kediaman dan tanah simpanan untuk kegunaan kerajaan. Malangnya, Perang Dunia Ke II telah meletus tidak lama kemudian dan pelaksanaan pelan ini terpaksa diketepikan sehingga keadaan ekonomi pulih semula selepas perang. Pelan ini mula dilaksanakan pada lewat tahun 1949 dan didapati bahawa permintaan terhadap lot-lot di Pekan Sipitang amat rendah. Sehingga tahun 1952, hanya lapan lot kedai sahaja yang telah disewa. Walau demikian, kerajaan bercadang untuk memperuaskan lagi kawasan pekan Sipitang kerana pada masa itu, ia bercadang melaksanakan skim hidro-elektrik Sipitang. Perlaksanaan skim ini dijangka akan membawa kepada pertumbuhan penduduk dan pembangunan di kawasan ini. Pelan ini akhirnya tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan.

Topologi Daerah Sipitang

Daerah Sipitang terletak dibahagian paling selatan negeri Sabah, bersempadankan dengan Negeri Sarawak di Kampung Long Pasia dengan Kecamatan Krayan Kalimantan Utara, berdekatan dengan Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan. Keluasan Daerah Sipitang adalah 2,732.4 KM Persegi.

Daerah Sipitang merangkumi kawasan yang luas, dimana sebahagian besarnya terletak di kawasan yang sukar ditembusi. Walaupun sebilangan besar penduduk tinggal di kawasan berdekatan pantai dan persisiran sungai Mengalong, namun kawasan pedalaman yang sukar ditembusi juga mempunyai penduduk-penduduk yang perlu dijaga oleh kerajaan pada masa tersebut. Memandangkan kemudahan perhubungan belum tersedia pada masa itu, pentadbiran seluruh daerah sering membawa masalah dan membebankan kerajaan. Sifat kependudukan yang bertaburan di bahagian pedalaman mengakibatkan perbelanjaan pentadbiran yang tinggi untuk rakyat setempat dapat menggunakan kemudahan-kemudahan awam, khasnya kemudahan kesihatan yang disediakan oleh pihak pemerintah.

Oleh itu, kerajaan penjajah pada masa itu telah berusaha untuk menggalakkan penduduk-penduduk di kawasan-kawasan ini untuk berpindah ke kawasan yang lebih senang dihubungi supaya mereka dapat merasai kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Pada tahun 1953, dengan galakkan dan bantuan kerajaan, seramai 53 buah keluarga telah dipindahkan daripada kawasan terpencil ke kampung melalui rancangan penempatan semula yang dikendalikan oleh kerajaan.

Mukim dan Kampung

Pada masa kini, kawasan Parlimen Daerah Sipitang mempunyai 2 kerusi DUN iaitu DUN Lumadan dan DUN Sindumin, yang merangkumi 3 mukim, iaitu :
1. Mukim Mesapol
2. Mukim Sindumin dan
3. Mukim Melamam.

Dianggarkan jumlah penduduk pada masa kini adalah melebihi 46,000 orang penduduk.




Piagam Pelanggan

Kami berazam untuk memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada orang awam dengan kualiti pengurusan pentadbiran daerah secara menyeluruh selaras dengan matlamat kita bersama untuk menuju ke arah kecemerlangan dengan dedikasi, bersih, cekap dan amanah. Bagi maksud ini, kami berjanji untuk:

1. MELAYAN dan menerima segala urusan aduan / masalah orang awam pada bila-bila masa dan cuba menyelesaikan dengan secepat mungkin


2. MENYAMPAIKAN maklumat berhubung dengan dasar-dasar Kerajaan kepada orang awam dengan cepat, tepat dan sistematik serta mesra

1. KAMI memberi perkhidmatan dengan cekap, tepat dan bersopan santun


2. KAMI memproses permohonan lesen-lesen dalam tempoh 2 hingga 7 hari dengan syarat permohonan teratur dan disokong dengan dokumen yang lengkap


3. KAMI memperbaharui lesen-lesen 1 hingga 3 hari


4. KAMI mengendalikan pendaftaran Surat Akuan, Surat Kuasa, Surat Perjanjian mengikut undang-undang dan Akta Setem 1949.